www.kafaalfalahusj9.edu.my

You are here:
E-mail Cetak PDF

KAFA INTEGRASI MASJID AL-FALAH USJ 9 (KAFAI MAF) yang dahulunya dikenali sebagai SEKOLAH AGAMA RAKYAT MASJID AL FALAH (SARMAF) telah mula beroperasi secara rasmi pada 3 Januari 2001 di bawah pendaftaran Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Penubuhan KAFA(I)MAF  adalah inisiatif Jawatankuasa Induk Masjid Al-Falah yang ingin melihat anak-anak masyarakat Islam di USJ mendapat pendidikan Islam yang formal dan tersusun.

Buat masa sekarang, KAFA(I)MAF beroperasi menggunakan kelas-kelas sementara di dalam Masjid Al-Falah yang berjumlah 23 kelas untuk sesi persekolahan pagi dan petang, dengan jumlah murid hampir 1,000 orang. Pada awal operasinya, KAFA(I)MAF bermula dengan hanya 17 orang kakitangan dan kini telah meningkat kepada 31 orang termasuk 2 orang kerani.

Begitu juga dengan jumlah bilangan murid iaitu bermula dari 630 orang pada tahun 2001 dan kini meningkat hampir kepada 800. KAFA(I)MAF menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh JAIS dan di bawah penyeliaan dan pengawasan Jabatan Pendidikan JAIS.

Peperiksaan utama di  KAFA(I)MAF   adalah Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK). Sijil PSRA akan membantu pelajar-pelajar  untuk melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah agama di bawah penyeliaan JAIS. Manakala pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam UPKK pula berpeluang untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh agama dan juga integrasi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

KAFA(I)MAF bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah juga dalam bidang kokurikulum. Pada tahun 2011, KAFA(I)MAF  telah berjaya mendapat Naib Johan KAMIL peringkat negeri bagi ketiga-tiga acara iaitu Marhaban (L), Solat Jenazah (L) dan menulis Khat Tahap 1 (P).